Saturday, December 6, 2008

PANGGILAN....

tatkala lembut sayup dikumandangkan bait-bait pengabdian
menyerahkan seluruh jiwa dan keikhlasan
mendatangi rumah-Nya dengan keinsafan
mendatangi rumah-Nya dengan kekerdilan
mendatangi-Nya dengan rasa kasih
lebih lagi mendapatkan kasih-Nya
di sini tiada hamba tiada tuan tiada raja tiada suruhan
di sini manusia sama sahaja asal kejadian datang menemui Tuhan
di sini keangkuhan akan ditunjukkan balasan
di sini keikhlasan raja keinsanan
di sini hati menjadi taruhan

Aku masih mengharap dengan penuh penyerahan
agar aku dipanggil Tuhan mendatangi rumah-Nya
Rumah Kebesaran dan Rumah Keagungan
hadiah sebuah keikhlasan
hati yang disirami kasih sayang dan rahmat Tuhan
sebelum Dia juga menjemput kupulang
ke daerah asal kejadian.


IKTIBAR DARI BENCANA

Salam ukhuwah buat seluruh warga alam,
Terkejut, tergamam dan sesekali geram berbaur simpati yang amat mendalam apabila mendengar perkhabaran kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan tertimbusnya 14 buah banglo di Taman Mewah Bukit Antarabangsa. Tanpa menolak tentang tepatnya ketentuan takdir, kita juga telah diperingatkan betapa bukit-bukau dan gunung- ganang itu merupakan pasak bumi yang telah dijadikan Allah untuk mengikat keseimbangan alam, namun kedegilan, keegoan, keangkuhan dan kesombongan manusia melupakan hakikat ini. Mereka lebih percaya kepada nasihat pakar dengan segala teknik canggih dalam pembinaan, terpedaya dengan pujuk rayu pemaju dengan kawasan perumahan yang menawarkan pemandangan yang terindah, terpesona dengan kelainan agar secara tidak langsung akan mempertingkatkan reputasi dan rasa elit, dan segala macam perasaan yang hanya diketahui oleh kalangan yang terlibat, sehingga mereka terlupa kepada peringatan Allah yang sentiasa benar tanda-tandanya! Namun, sebagai manusia biasa takziah dan dengan harapan redhalah dengan ketentuan-Nya. Semua kita milik-Nya, dan segala sesuatu yang berlaku itu tentunya juga punya hikmah untuk kita mengambil iktibar untuk mendidik hati! Al-Fatihah.

Ketuanan Melayu dan 'Keliruisme'

Salam Ukhuwah untuk seluruh warga jagat,
AlhamduliLlah, dapat kembali bertemu tanpa bersemuka. Baru sahaja sembuh daripada diuji Allah dengan demam seluruh ahli keluarga, kecuali anak sulungku yang sehingga kini masih bertahan, sihat. Namun, demam juga memberikan nikmat kerana dapat membaca pelbagai bahan sambil berbaring dan terkadang meniarap dan sesekali menelentang..Sambil membaca beberapa naskah akhbar Berita Harian, Harakah, Wasilah, Keadilan, Siasah, Watan, Star dan New Straits Times (apa lagi nak buat selain membaca bahan-bahan bacaan ringan), juga membaca Paras, Laman, Anjung Seri dan Dapur. Tetapi, hal-hal yang berkaitan dengan politik tanah air terutamanya yang berkaitan dengan politik bangsa Melayu juga yang menarik minat untuk dibicarakan. Salah satu mauduk yang hangat diperkatakan dan diperdebatkan ialah isu Ketuanan Melayu. Secara konsisten saya tetap berpendapat bahawa yang meruntuhkan Ketuanan Melayu itu ialah orang Melayu sendiri atau lebih tepat lagi Pemimpin Melayu sendiri. Mereka menyeru rakyat mematuhi perlembagaan tetapi merekalah yang terlebih dahulu memungkirinya. Bahasa rasmi Persekutuan disebut Bahasa Melayu dalam Perlembagaan ditukar menjadi Bahasa Malaysia; bukan kerana untuk perpaduan tetapi untuk kepentingan politik, HaK Istimewa Orang Melayu terutamanya kuota pendidikan dan biasiswa ditukar kepada meritokrasi dan PTPTN; kerana hendak menjaga hati 'masyarakat parti bersekutu' yang menjadi pengundi mereka, kita marah apabila 'orang lain' memperlecehkan Raja-raja Melayu, tetapi kita terlupa bahasa orang kita juga yang membuka pekung di dada! Fikirkanlah dengan ikhlas, suci hati dan bersedialah untuk bermuhasabah diri, belajar mengakui kesilapan dan kesalahan sendiri, janganlah kepada orang lain asyik menuding jari!