Thursday, April 30, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KL 2009.

Salam ukhwuah buat semua,
Tanggal 25 April 2009 saya berkesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bertempat di PWTC. saya tidak akan bercerita tentang kemeriahannya, sama ada dalam konteks sambutan para pengunjungnya mahupun pelbagai acara yang menjadi selingannya. Saya telah membeli beberapa naskah buku baru dan lama yang menarik minat minda saya. Saya membeli buku kerana beberapa faktor yang antaranya termasuk kerana faktor ketersohoran pengarangnya, bidang dan disiplin ilmunya, dan terkadang kerana persembahan fizikal buku itu yang menarik saya untuk membelinya. Antara yang saya beli ialah kumpulan puisi SN Prof Dr Muhammad Hj Salleh bertajuk Selamat Pulang Juita yang disertakan dengan terjemahan Sepanyolnya Bienvenida a casa, Juita. dan paling menariknya saya berkesempatan mendapatkan tandatangan pengarangnya sendiri dengan kata-kata rangsangan agar terus menggelumangi dunia perbukuan. Saya dapatkan juga buku menarik rakaman lukisan dan petikan-petikan menarik karya SN Datuk A. Samad Said bertajukBisik Warna. Sebuah lagi buku yang menarik ialah karya sejarah yang dipersembahkan dalam bentuk cerita yang bertajuk Tun Perak Pencetus Wawasan Empayar Melaka hasil buah tangan Prof Madya Dr Muhd Yusof Ibrahim, amat kreatif gubahannya. AlhamduliLlah, telah selesai saya baca kesemua buku yang saya sebutkan di atas dan sekarang sedang menikmati novel antara yang terakhir karya SN Arena Wati sebelum kepulangannya menghadap Allah bertajuk Warna Hati Era Remaja terbitan UPSI. saya juga secara peribadi merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kepemimpinan ITNM pimpinan Prof Dato Dr Wan Hashim Wan Teh yang kebelakangan ini begitu aktif menterjemahkan pelbagai karya besar dan popular Barat ke Bahasa Melayu, termasuklah beberapa karya kesusasteraan. Saya telah membeli beberapa naskah sebagai tanda sokongan sekali gus sebagai pengukuhan pembacaan dan pemahaman kerana sebahagiannya telah saya miliki karya versi asalnya di samping ingin melengkapkan perpustakaan peribadi saya dengan himpunan khazanah karya pemikir-pemikir hebat daripada pelbagai tradisi intelektual dan tamadun dunia.   

Sunday, April 19, 2009

BAHASA POLITIK DAN POLITIK BAHASA

Malaysia, negara yang kita cintai ini baru sahaja menerima seorang Perdana Menteri baru yang dapat menyandang jawatannya berdasarkan penyerahan kuasa daripada Perdana Menteri sebelumnya. Terkadang terasa negara ini ditadbir oleh sebuah keluarga atau kerabat diraja yang boleh mewariskan takhta pemerintahan mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak yang selalunya berasaskan prinsip saling mempercayai dan saling 'mengharapkan sesuatu'. kalau mengikut tradisi beraja, penyerahan kuasa pemerintahan biasanya berlaku antara paduka ayahanda dengan anakanda sulung baginda, atau mungkin juga diwariskan dengan kaum kerabat diraja yang rapat atau kedim, tapi demikianlah politik, kuasa raja bagaikan cuba diduplikasikan oleh kalangan ahli politik. Lantas, selepas menerima penyerahan kuasa itu Perdana Menteri barupun membuat ucapan sulungnya untuk menarik perhatian dan sokongan rakyat yang kelihatan semakin menyusut, dan ucapan sulung itu disiarkan pula secara langsung. Lalu dikumandangkan beberapa istilah politik yang muluk-muluk dan seakan-akan kelihatan amat baik budi dan prihatin sungguh terhadap kebajikan serta perasaan rakyat....juga diungkapkan juga janji-janji untuk perubahan, tetapi sehingga hari ini tidak pula dirasakan apa-apapun perubahan selain perubahan pucuk pimpinan dan sebahagian daripada keanggotaan kabinet..diajak juga rakyat untuk bersama-sama memberikan idea dan kritikan demi pembangunan negara dengan slogan Satu Malaysia, Rakyat diUtamakan..namun kehidupan masih seperti biasa dan kekadang terasa lebih teruk lagi, namun dialas dengan hujah akibat kelumpuhan ekonomi dunia, namun andainya kita berhemat berbelanja sebelumnya tentu tidak menjadi begini..pernah seorang Menteri Kewangan yang memetik kisah idea belanjawan yang digagaskan oleh Nabi Yusuf AS seperti yang diungkapkan di dalam Al-Quran..tetapi demikianlah politik dan kekuasaan dengan bahasanya yang penuh makna berseni...yang pastinya keadilan dan kebenaran hanya pada kalangan yang berkuasa...