Saturday, October 24, 2009

SALAM & SELAMAT BERTEMU KEMBALI

Telah sekian lama ruang bicara ini tersisih justeru desakan waktu yang amat menghimpit. Kendatipun terlalu banyak peristiwa yang berlaku, betapapun sekian banyak kemarahan memuncak, juga biar merimbun minda dengan pelbagai idea, namun segalanya tidak dapat diupayakan untuk dicoretkan sebagai suatu catatan buat tatapan bersama-sama. Sememangnya sekian banyak alasan pula berupaya dikemukakan, namun walau dicubakan jua untuk 'mencuri' ruang terluang, terlalu sukar pula untuk melepaskan diri daripada hambatan waktu dan himpitan tugasan yang datang bersilih ganti. buat tika ini, rasanya ruang menghimpit itu kiranya mula berkurangan, dan diharapkan dengan penuh daya untuk kembali meneroka laluan peristiwa dan sesekali mencelah dengan idea dan mungkin juga sesekali untuk menghias bicara ini dengan emosi ceria. Sampai bilakan kita mahu marah terus-terusan? Insaflah dan syukurlah justeru kita tetap diberikan ruang oleh-Nya untuk menukilkan 'sesuatu' buat renyngan kita bersama-sama. InsyaAllah, moga diberikan-Nya kekuatan minda dan kekayaan jiwa untuk kembali berkarya.

SALAM & SELAMAT BERTEMU KEMBALI

Thursday, June 18, 2009

KERAJAAN PERPADUAN?

Salam Ukhuwah,
Kerajaan Perpaduan? Mengapakah timbul persoalan ini daripada PAS, dan mengapakah pula pimpinan UMNO kelihatan memberikan reaksi yang agak positif dan meluas dalam media miliknya? Demikianlah politik yang seringkali mempertaruhkan segala prinsip dan ideologi dan sokongan rakyat demi terus berkuasa dan demi memperoleh kuasa. Atau mungkinkah PAS sememangnya parti yang lemah, yang memerlukan dahan berpaut? Atau mungkinkah dan sememangnya UMNO kelihatan amat lemah sekarang dan sanggup menjilat segala ludahnya kembali yang telah dihamburkannya kepada pimpinan dan seluruh badan PAS sebelum ini? Mungkin juga pimpinan PAS tidak celik mata melihat keterpingiran dan tersisihnya kerajaan Kelantan pimpinan PAS daripada segala kemudahan yang sepatutnya dinikmati bersesuaian dengan prinsip kerajaan Federalisme? Kiranya pimpinan peringkat manapun dan lorong kuasa yang manapun berhenti sejenak daripada memikirkan soal kuasa dan kekuasaan, soal kesenangan diri dan kelangsungan parti dan ideologi masing-masing, lalu memikirkan pula soal kematian dan beban pertanggungjawaban di hadapan-Nya kelak, mungkin kita semuanya akan berlapang dada dalam banyak hal.. lalu segala tindakan kita tidak akan mempunyai hal-hal yang tersirat atau mempunyai makna ada udang di sebalik batu dan yang seumpamanya. Lalu kita yang telah sekian lama menjadi pentafsir segala gelagat mereka juga akan sedia pula mengenepikan segala persepsi negatif terhadap segala perlakuan dan tindakan mereka!

Thursday, June 11, 2009

LAGI-LAGI BAHASA INGGERIS!

Salam Ukhuwah,
Mutakhir ini isu 'memartabatkan' Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang menjadi kayu ukur kemajuan negara, kebolehpasaran para graduan dan pengukur tahap keyakinan diri 'manusia' kembali menjadi isu penting bagi kalangan elit negara termasuklah para isteri mereka. Malah, seorang isteri menyatakan bahawa kalangan yang boleh menguasai bahasa Inggeris akan meningkatkan tahap keyakinan diri mereka dan tidaklah terpaksa menyediakan bantuan penterjemah sementelahan kaedah sebegini akan mengambil masa yang lebih lama. Kadang-kadang pelik sungguh cara mereka berfikir tentang makna kemajuan, kebolehpasaran dan tahap keyakinan diri seseorang! Entah berapa banyak kajian yang empirikal dikemukakan oleh para sarjana tempatan tapi seperti biasa segala yang berbaur tempatan kurang bernilai keopada mereka dan hanya sesuai untuk kalangan rakyat biasa sahaja dan bukan mereka. Mereka jugalah yang bercerita tentang satu Malaysia, Bangsa Malaysia, maju dengan acuan sendiri, tetapi terkadang kita sendiri pun tertanya-tanya sama ada segala yang mereka kemukakan itu telah mereka fahami sedalam-dalamnya, atau hanya sekadar membaca teks yang disediakan atau sekadar untuk menyedapkan hati rakyat atau untuk menunjukkan betapa patriotiknya mereka berbanding rakyat, walaupun pada hakikatnya segala-galanya itu hanyalah kata-kata kosong tanpa makna! Entah berapa kali telah dibuktikan betapa sekiranya kita bergantung kepada bahasa asing sebagai kayu ukur kemajuan kita, maknanya kita belum berupaya maju apatah lagi maju dengan acuan sendiri. Kita sebenarnya memerlukan para pemimpin yang benar-benar menghayati sejarah perjuangan bangsa Melayu secara tulen, makna ketuanan Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu, keunggulan kepertuanan Melayu: dan bukannya sekadar menyuruh orang lain memberi kefahaman kepada mereka melalui teks-teks ucapan yang di sediakan yang selalunya bersifat 'rasmi-rasmian' sahaja, dan untuk menyedapkan telinga serta memuaskan hati kalangan yang menjemput kehadiran mereka!

Friday, June 5, 2009

CHIN PENG DAN KEMANUSIAAN?

Salam Ukhuwah,
Kebelakangan ini entah bagaimana pula timbul kembali isu untuk membawa kembali Chin Peng, antara pengganas komunis yang amat terkenal dengan 'kekomunisan'nya ke Malaysia. Juga entah siapakah pula yang menggatal-gatal mulut untuk kembali berbicara tentang Chin Peng dan dengan rasa kemanusiaan si-polan yang gatal mulut itu juga berura-ura untuk membawanya menikmati udara demokrasi dan negara yang demikian maju setelah suatu ketika dahulu pernah dihuru-harakannya dengan segala babak kekejaman dan kezaliman gerombolannya. Namun, si-polan berkenaan pernah ke menanyakan akan penderitaan yang dialami oleh kalangan yang telah diganasi atau dikejami atau dizalimi oleh gerombolan komunis itu? Tentunya lebih afdal dan amat terpuji kiranya si-polan berkenaan mengambil berat dan memperjuangkan nasib sengsara yang ditangung sekian lama oleh mangsa-mangsa gerombolan komunis yang tidak pernahpun memiliki sekelumit rasa kemanusiaan, malahan gerombolan itu entah tahu entah tidak maksud perkataan kemanusiaan, apatah lagi mengamalkannya sepanjang perjuangan dan sepanjang kehidupan mereka selepas tamatnya era kekejaman dan kezaliman gerombolan komunis berkenaan. Semenjak konsep Satu Malaysia dicanangkan oleh kalangan politikus yang gersang sokongan tulen rakyat terbanyak dikumandangkan dan dihebatkan pula oleh dendangan propoganda kelas pertama, maka muncul pelbagai tuntutan yang bukan-bukan dan terkadang tidak masuk akal oleh kalangan yang sentiasa merebut peluang melukah di pergentingan! Ingatlah, daripada kita bertelagah memikirkan kesudahan si Chin Peng durjana itu, lebih bermanfaat kiranya kita memperjuangan nasib sengsara seluruh kalangan yang pernah menjadi mangsa kekejaman, kezaliman dan kebinatangan @ ketidakmanusiaan gerombolan pimpinannya. Malah, mungkin juga terkabul rasa kemanusiaan si-polan gatal mulut itu andainya kerajaan membantunya menjadi jiran terbaik si Chin Peng pujaannya itu, walau dimana-manapun dia bermukim hingga ke akhir hayatnya, kecualilah kiranya Allah membuka pintu hatinya untuk menerima Kebenaran Hakiki-Nya, maka kita bertanggungjawab penuh pula untuk membantunya!

Thursday, June 4, 2009

STADIUM BARU RUNTUH?

Salam ukhuwah buat semua,
Berita runtuhnya sebuah stadium yang baru saja dibina di tengah-tengah sorak-sorai pelbagai macam retorik untuk menggambarkan kemodenan, kecanggihan, kejayaan pemerintah mengemudi sekitar 52 tahun pentadbiran negara tentunya mengejutkan seluruh penduduk Malaysia, kalaupun tidak penduduk bumi ini. Hal ini kerana dengan segala pengalaman, kuasa, kepakaran dan kewangan, stadium tersebut runtuh hanya kerana usaha-usaha untuk memasang kelengkapan aktiviti lasak ala-tentera sedang giat disiapkan, demikian diberitakan. Setelah kita dibangga-banggakan dengan Wawasan 2020: Malaysia menjadi negara Maju dengan "acuan sendiri" yang juga tidak tentu hala acuannya itu; kemudian disambut pula dengan idea Bangsa Melayu/Malaysia Glokal sehingga menjadi Bangsa Angkasa dengan berpegang kepada Prinsip-prinsip Islam Hadhari demi menterjemahkan segala Misi Nasional ke arah pembentukan Satu Malaysia, rupa-rupanya kemajuan kita masih rapuh sama ada andai diukur dari segi fizikalnya, apatah lagi kiranya disandarkan kepada kemajuan emosi rasional, minda keintektualannya, akal budi dan yang seumpamanya yang menjadi teras dan inti takrif 'maju' yang sebenarnya, seperti yang dikupas secara tekal oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam pelbagai karyanya yang berbobot. Demikianlah bahananya apabila urusan negara dan pentadbirannya sama ada secara langsung atau secara tidak langsung tidak berteraskan integriti dan amanah keimanan insan. Ya semua pihak atau sesiapa sahaja bisa

Tuesday, May 12, 2009

KEBENARAN, KEBERANIAN, KEADILAN

Salam Ukhuwah
AlhamdulilLah, kemelut yang berlaku di Peark sebahagiannya telah menampakkan sejalur sinar kebenaran yang telah tertunda sekian lama akhirnya terserlah jua. Biarpun, segala kebenaran belum ternyata, namun sebahagian rakyat biasa yang tidak bergelumang atau menggelumangi dunia perundangan pun bisa saja mengerta dan memahami permainan politik kalangan yang berkuasa. Ternyata, masih ramai lagi kalangan yang berkuasa yang mempunyai keberanian untuk bertindak menongkah arus biarpun mereka tentunya menyedari bahawa mereka telah mula memercikkan bunga-bunga api yang nantinya tentulah merebak menjadi bara yang berkemungkinan juga membakar dirinya. Namun demikian, ternyata keberanian yang sedemikian juga sebenarnya berupaya meletakkan kebenaran ke kemuncak kuasa kemanusiaan dan secara jelas dan berwibawa pula keadilan berupaya dikemudi dengan penuh insaf dan berprinsip. Ternyata jualah janji-janji Allah yang mengungkapkan dalam kitab-Nya bahawa pabila datang kebenaran maka akan terhapuslah kebatilan.  Sesungguhnya juga semestinya insaf dimengerti bahawa tiada sesiapapun jua dalam kalangan manusia yang berkeupayaan menyembunyikan kebenaran kerana kebenaran hakiki merupakan milik Allah, lantas dengan kekuasaan-Nya jua Dia memberikan hidayah kebenaran kepada sesiapa jua yang dikehendaki-Nya untuk menegakkan Keadilan. Dan tentunya bertuahlah kalangan yang memperoleh hidayah itu sekali gus pula berupaya melaksanakannya agar kebenaran tidak menjadi bahan dagangan oleh kalangan yang berkuasa. Sememangnya juga menegakkan kebenaran itu amat sukar, memberikan keadilan juga amat berat, namun kalangan yang terbuka pintu hatinya untuk menerima hidayah tentunya juga dibekalkan dengan keberanian jiwa yang cukup luar biasa. mereka yang berjuang ke jalan dan di jalan kebenaran hakiki tentunya menyedari akan segala halangan dan rintangan yang membelenggu tetapi jiwa, hati dan minda serta fizikal  mereka telah bersebati dengan segala kesukaran. Ayuh, teruskanlah memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan nantikanlah serta bermohonlah kepada-Nya agar kita diberikan kekuatan dan keberanian untuk menyatakan kebenaran demi menegakkan keadilan!