Saturday, December 6, 2008

PANGGILAN....

tatkala lembut sayup dikumandangkan bait-bait pengabdian
menyerahkan seluruh jiwa dan keikhlasan
mendatangi rumah-Nya dengan keinsafan
mendatangi rumah-Nya dengan kekerdilan
mendatangi-Nya dengan rasa kasih
lebih lagi mendapatkan kasih-Nya
di sini tiada hamba tiada tuan tiada raja tiada suruhan
di sini manusia sama sahaja asal kejadian datang menemui Tuhan
di sini keangkuhan akan ditunjukkan balasan
di sini keikhlasan raja keinsanan
di sini hati menjadi taruhan

Aku masih mengharap dengan penuh penyerahan
agar aku dipanggil Tuhan mendatangi rumah-Nya
Rumah Kebesaran dan Rumah Keagungan
hadiah sebuah keikhlasan
hati yang disirami kasih sayang dan rahmat Tuhan
sebelum Dia juga menjemput kupulang
ke daerah asal kejadian.


IKTIBAR DARI BENCANA

Salam ukhuwah buat seluruh warga alam,
Terkejut, tergamam dan sesekali geram berbaur simpati yang amat mendalam apabila mendengar perkhabaran kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan tertimbusnya 14 buah banglo di Taman Mewah Bukit Antarabangsa. Tanpa menolak tentang tepatnya ketentuan takdir, kita juga telah diperingatkan betapa bukit-bukau dan gunung- ganang itu merupakan pasak bumi yang telah dijadikan Allah untuk mengikat keseimbangan alam, namun kedegilan, keegoan, keangkuhan dan kesombongan manusia melupakan hakikat ini. Mereka lebih percaya kepada nasihat pakar dengan segala teknik canggih dalam pembinaan, terpedaya dengan pujuk rayu pemaju dengan kawasan perumahan yang menawarkan pemandangan yang terindah, terpesona dengan kelainan agar secara tidak langsung akan mempertingkatkan reputasi dan rasa elit, dan segala macam perasaan yang hanya diketahui oleh kalangan yang terlibat, sehingga mereka terlupa kepada peringatan Allah yang sentiasa benar tanda-tandanya! Namun, sebagai manusia biasa takziah dan dengan harapan redhalah dengan ketentuan-Nya. Semua kita milik-Nya, dan segala sesuatu yang berlaku itu tentunya juga punya hikmah untuk kita mengambil iktibar untuk mendidik hati! Al-Fatihah.

Ketuanan Melayu dan 'Keliruisme'

Salam Ukhuwah untuk seluruh warga jagat,
AlhamduliLlah, dapat kembali bertemu tanpa bersemuka. Baru sahaja sembuh daripada diuji Allah dengan demam seluruh ahli keluarga, kecuali anak sulungku yang sehingga kini masih bertahan, sihat. Namun, demam juga memberikan nikmat kerana dapat membaca pelbagai bahan sambil berbaring dan terkadang meniarap dan sesekali menelentang..Sambil membaca beberapa naskah akhbar Berita Harian, Harakah, Wasilah, Keadilan, Siasah, Watan, Star dan New Straits Times (apa lagi nak buat selain membaca bahan-bahan bacaan ringan), juga membaca Paras, Laman, Anjung Seri dan Dapur. Tetapi, hal-hal yang berkaitan dengan politik tanah air terutamanya yang berkaitan dengan politik bangsa Melayu juga yang menarik minat untuk dibicarakan. Salah satu mauduk yang hangat diperkatakan dan diperdebatkan ialah isu Ketuanan Melayu. Secara konsisten saya tetap berpendapat bahawa yang meruntuhkan Ketuanan Melayu itu ialah orang Melayu sendiri atau lebih tepat lagi Pemimpin Melayu sendiri. Mereka menyeru rakyat mematuhi perlembagaan tetapi merekalah yang terlebih dahulu memungkirinya. Bahasa rasmi Persekutuan disebut Bahasa Melayu dalam Perlembagaan ditukar menjadi Bahasa Malaysia; bukan kerana untuk perpaduan tetapi untuk kepentingan politik, HaK Istimewa Orang Melayu terutamanya kuota pendidikan dan biasiswa ditukar kepada meritokrasi dan PTPTN; kerana hendak menjaga hati 'masyarakat parti bersekutu' yang menjadi pengundi mereka, kita marah apabila 'orang lain' memperlecehkan Raja-raja Melayu, tetapi kita terlupa bahasa orang kita juga yang membuka pekung di dada! Fikirkanlah dengan ikhlas, suci hati dan bersedialah untuk bermuhasabah diri, belajar mengakui kesilapan dan kesalahan sendiri, janganlah kepada orang lain asyik menuding jari!

Wednesday, November 19, 2008

BAHASA MELAYU DAN KEAZAMAN POLITIK







Salam buat semua.



Untuk kesekian kalinya aku masih lagi tidak dapat menerima hakikat bahawa Bahasa Melayu kian diperlekehkan oleh kalangan bangsaku sendiri. Malah aku menjadi berasa lebih malu apabila Prof Dr Teo Kok Seong, Profesor Sosiolinguistik UKM sendiri mengungkapkannya sedemikian dalam suratnya yang tersiar dalam akhbar Berita Harian (11 Nov 2008:35). Katanya, "Sebenarnya, bahasa Melayu banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu'. Aku amt berharap agar ramai kalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang lantang memperjuangkan Ketuanan Melayu agar jujur pula bukan sahaja untuk mempertahankan tetapi juga bersungguh-sungguh memperjuangkan bahasa Melayu yang merupakan antara unsur pentakrif Ketuanan Melayu itu. Kiranya kita sendiri tidak berupaya atau tidak bersedia atau tidak berminat untuk memperjuangkannya sebagai antara unsur pentakrif Ketuanan Melayu, maka jangan marahkan orang lain kiranya bahasa Melayu atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan unsur-unsur Ketuanan Melayu itu dipersoalkan atau diperlekehkan. dalam hal ini, bangsa Melayu sebenarnya memerlukan keazaman politik para pemimpin Melayu untuk menentukan jatuh-bangunnya martabat Bahasa Melayu, Bangsa Melayu dan Peradaban Melayu-Islam di negara ini. Kiranya para pemimpin Melayu ingin menyerahkannya kepada rakyat untuk menilai, maka rakyat telah mula menunjukkan sebahagian daripada penilaian mereka. Janganlah nanti 'yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran', waktu untuk generasi 'kita' mungkin telah terlalu singkat, tetapi fikirkanlah generasi selepas kita. sewaktu 'kita' masih wujudpun, telah mula'anak-anak tiri' dan 'anak-anak angkat' menuntut yang bukan-bukan, sementelahanlah pula apabila 'kita' telah tiada nanti. jangan juga salahkan kepada mereka, kerana punca segala musibah yang membuka pekung di dada ini ialah 'kita' sendiri. insaflah!

Salahkah 'Sajak Kematian' itu?

Salam Ukhuwah buat seluruh warga jagat raya.
Pendidikan merupakan suatu proses yang berterusan dan menggunakan pelbagai pendekatan, kaedah, teknik dan strategi dan segala yang mungkin, berdasarkan prinsip 'there is no one method in teaching'. Justeru,latar belakang sosio-budaya pelajar yang pelbagai serta pelbagai fenomena kegawatan tingkah laku pelajar akhir-akhir ini, maka kedapatan para pendidik yang menggunakan pendekatan keagamaan yang berkaitan dengan 'kematian' demi menjadikan para pelajar ini mudah insaf dan nantinya sentiasa diselubungi 'ketakutan' untuk melakukan sebarang kemungkaran. Niatnya betul, apatah lagi melentur buluh biarlah tatkala rebungnya, namun nampaknya dalam kehidupan dewasa ini niat sahaja belum memadai. Hal ini kerana kedapatan waris yang 'berpengaruh' berupaya mempengaruhi pelbagai pihak untuk 'mengajar' pendidik yang sememang tugasnya untuk 'mengajar dan mendidik', agar tidak mengajar dengan unsur-unsur yang menakutkan. mereka lebih suka anak-anak memiliki jiwa dan minda bebas sebebas-bebasnya tanpa sekelumitpun perasaan takut dalam kehidupan ini. Lalu pembikin sajak dan video kematian itupun perlu diajar! tetapi hairan ye, mengapakah sekian banyak cerita, filem dan novel serta segala macam karya tahyul, seram, hantu dan yang seangkatan dengannya dibiarkan berleluasa? Demikian juga sekian banyak majalah, filem dan novel-novel erotik dan porno yang boleh didapati di pasaran terbuka dengan harga mampu-milik tidak pula dipersalahkan, mengapa ya? Sukar juga menjadi pendidik yang sememangnya berperanan untuk mendidik manusia menjadi baik. Perlukah membiarkan sahaja pelajar-pelajar melakukan segala macam yang hendak dilakukannya, asalkan waris mereka seronok?

Membaca Kehidupan

Salam Ukhuwah buat warga seantero jagatraya,

Kehidupan ini teramat singkat, tambahan akhir-akhir ini detik waktu terasa terlalu pantas berputar dan bertukar tanpa berganti kecuali pertukaran waktu siang dan malam dan detik waktu antaranya. Maka, tentunya juga pengalaman kehidupan terlalu sedikit yang berupaya dikutip, namun pada ketika yang sedemikian kita masih punya ruang dan peluang lain untuk mengutip sekian banyak pengalaman tentang kehidupan, yakni melalui pembacaan. Cuti-cuti begini ku manfaatkan dengan bercumbuan dengan buku sepuas-puasnya. AlhamdulilLAH, Tuhan perkenankan waktunya sehingga selesai membaca beberapa naskhah buku. Mau tau buku apa yang kubaca? Hot, Flat and Crowded (2008) karya Thomas L. Friedman, aku amat menyenangi penulis ini terutamanya selepas selesai membaca bukunya yang terdahulu yang bertajuk The World is Flat (2005) Sebentar tadi baru sahaja selesai membaca buku Citra Sastera (2008) buah tangan Sohaimi Abdul Aziz, menarik argumentasinya tentang sastera dan kehidupan era sains dan teknologi ini sekali gus memperihalkan betapa sastera masih terus relevan menjadi ruang dan mengisi ruang untuk sains dan teknologi serta hal-hal budaya dibicarakan.

Membaca Kehidupan


Membaca Kehidupan


Monday, November 10, 2008

Saya berjaya!