Monday, January 5, 2009

TRAGEDI KEMANUSIAAN PALING TRAJIK

Salam Ukhuwah buat warga di seluruh penjuru alam,
Kegembiraan meraikan kehadiran Tahun Baru dengan segala harapan dan impian indah tercalar dengan peristiwa serangan dan penjajahan gerombolan ganas kebinatangan rejim Israel ke atas rakyat Palestin yang serba daif dan tidak berdaya andai dikira dan dinilai daripada segala segi peralatan kehidupan dan peralatan untuk berdepan bukan sahaja dengan peperangan tetapi juga keupayaan untuk hidup semasa dalam peperangan atau lebih tepat lagi penjajahan dan selepas penjajahan. Malangnya, jiran-jiran Palestin bagaikan memiliki telinga yang serba pekak dengan bunyi deruan dan dentuman segala jenis dan bentuk bom yang gugur dan meletup di wilayah Palestin, sekali gus juga memiliki mata yang buta terhadap segala kekejaman rejim binatang tersebut. Lantas, bantuan yang mencurah datang daripada negara asing termasuklah negara-negara yang masyarakatnya tidak beragama Islam tetapi rasa persaudaraan, kemanusiaan dan belas kasihan mereka lebih unggul dan tulen. Maknanya, kalangan masyarakat yang menganut agama Islam terutama dalam kalangan penduduk sekitar Palestin sekadar menganut agama Islam sahaja tetapi amalannya dalam konteks rasa kemanusiaan dan persdaudaraan terhadap kalangan yang dizalimi ternyata amat mendukacitakan sedangkan negara mereka ternyata pula amat kaya dengan anugerah logam hitam yang amat bernilai itu. Hati ini sesungguhnya berbaur antara marah, benci dan geram tetapi tidak tahu hendak dilepaskan kepada siapa. Hanya dengan doa yang bisa kuhulurkan untuk ketika ini dengan keyakinan bahawa selagi mereka yakin kepada ALLAH, hidup dan kematian mereka tentunya tidak sia-sia, terutamanya di dunia sana. Hanya kata-kata sedemikianlah yang menjadi senjata orang-orang yang lemah tetapi masih punya semangat dan keberanian untuk menyetakan ketidaksetujuan terhadap tindakan rejim binatang itu. Senjata kata-kata rungutan inilah yang dikatakan sebagai "Weapon of the Weak" yang menjadi 'Everyday Forms of Peasant Resistance' (1985) oleh James C. Scott apabila memperihalkan penindasan yang dilakukan terhadap para petani di Kedah. InsyaALLAH, moga ALLAH memberkati dan merahmati seluruh rakyat Palestin yang terkorban dalam tindakan kejam kebinatangan ini! Takbir!!! ALLAHu AKBAR!

INDAHNYA SAAT PERSEKOLAHAN

Salam ukhuwah buat warga jagat,
Semalam tercatat sejarah indah dalam kehidupanku dan keluarga kecil ini kerana mendaftarkan persekolahan anak sulungku ke darjah satu, dan pada masa yang sama juga mendaftarkan anak perempuanku ke sekolah tadika. Kedua-dua peristiwa ini mengundang imbauan ke zaman lampauku tatkala kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah tanpa terlebih dahulu mengenali alam tadika berbanding dengan peluang yang dapat dinikmati oleh anak-anakku. Demikian putaran roda kehidupan, indah sekali gus mengharukan. Berbanding dengan awal persekolahanku yang diiringi dengan serba kekurangan, anak-anakku menikmati persediaan yang tidak kurang sedikitpun persediaannya. Namun, jiwa kebapaanku diwarnai dengan bunga-bunga bahagia dan kedamaian yang tidak bisa terungkapkan dengan susunan kata-kata kerana 'pengalaman' langsung itu menjadi amat bermakna dan bererti sekali. Lalu inginku titipkan kembali tradisi penyerahan anak dengan membawa anakku memperkenalkan dirinya kepada gurunya serta kubuatkan penyerahan rasmi dengan harapan agar anankku dididik menjadi pandai dan menjadi manusia baik beserta dengan sepotong rotan! Didiklah anakku dan rotanlah kiranya perlu asalkan anakku tidak cacat dan patah riuk. Andai ayahandaku masih bersama-sama kami tentu dia akan menjadi amat gembira dengan caraku itu. Moga anak-anakku menjadi manusia baik "a good man" seperti yang diungkapkan oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya The Concept of Education in Islam (1980) 

Thursday, January 1, 2009

DOA DAN HARAPAN

andai diri bisa meminta
ingin sekali kumeminta kasih sayang dan limpahan rahmat-Mu
menemani kesepianku di daerah kejahilan
menyuluhi kegelapan tatkala kujalani kembara hayat
membimbing kejahilanku mengetuk pintu pintu ilmu-Mu
membukakan pintu Kasih-Mu tatkalaku tersesat dalam godaan duniawi

andaiku bisa merayu
ingin sekaliku memohon kasih sayang-Mu dan rahmah-Mu
mengindahkan peribadiku dengan akhlak Kekasih-Mu
setelah Kau perindah wajahku
ingin juga kumemohon agar Kau kurniakan limpahan kasih-Mu untuk ibuku 
yang telah mengorbankan seleuruh hidupnya untuk kehidupanku
ingin juga kumemohon ke hadrat-Mu agar mengankat makam dan martabat
almarhum ayahandaku dan menghimpunkan rohnya dalam kalangan yang Kau sayangi
melimpahkan Rahmah-Mu seperti yang Kau kurniakan kepada hamba-hamba pilihan-Mu

andaiku bisa meratap meminta
inginku meminta seluruh kebaikan yang Kau kurniakan kepada hamba-hamba
kesayangan pilihan-Mu untuk diriku, anak-anakku, keluarga ku dan seluruh muslim
agar nanti dunia akan kian aman kemanusiaan kian merimbun
sengketa kan terkubur kasih sayang kian subur

Allah Tuhan Yang Satu
Kau lebih mengetahui yang tersembunyi di naluri
Kau lebih mengerti yang terimpi di hasrat
Kau lebih mendekati daripada yang terhampir
Kau kabulkanlah segala yang terbaik buatku untuk mengabdi kepada-Mu.


SALAM MAAL HIJRAH

Salam Kasih Sayang buat seluruh warga jagat
AlhamdulilLah, syukur kepada-Nya kerana memberikan rahmat dan nikmat-Nya buat menghirup udara segar kehidupan, serta memberikan peluang untuk melihat seluruh milik yang amat disayangi, juga memberikan peluang untuk kembali menilai segala kekurangan dan kekhilafan diri untuk seterusnya memperbaiki serta memacu kecemerlangan dalam seluruh dimensi kehidupan, juga memberikan peluang untuk mempertingkatkan amal dan amalan yang baik serta mengurangkan amal dan amalan buruk yang sentiasa beriringan. Moga kesempatan yang dikur-niakan oleh-Nya ini akan menyedarkan betapa kian jauhnya diri dengan kehidupan dunia dan kian hampirnya dengan panggilan ke daerah abadi. Moga diri akan berupaya membawa diri memak-nakan hijrah dalam kehidupan yang masih berbaki ini.