Tuesday, May 12, 2009

KEBENARAN, KEBERANIAN, KEADILAN

Salam Ukhuwah
AlhamdulilLah, kemelut yang berlaku di Peark sebahagiannya telah menampakkan sejalur sinar kebenaran yang telah tertunda sekian lama akhirnya terserlah jua. Biarpun, segala kebenaran belum ternyata, namun sebahagian rakyat biasa yang tidak bergelumang atau menggelumangi dunia perundangan pun bisa saja mengerta dan memahami permainan politik kalangan yang berkuasa. Ternyata, masih ramai lagi kalangan yang berkuasa yang mempunyai keberanian untuk bertindak menongkah arus biarpun mereka tentunya menyedari bahawa mereka telah mula memercikkan bunga-bunga api yang nantinya tentulah merebak menjadi bara yang berkemungkinan juga membakar dirinya. Namun demikian, ternyata keberanian yang sedemikian juga sebenarnya berupaya meletakkan kebenaran ke kemuncak kuasa kemanusiaan dan secara jelas dan berwibawa pula keadilan berupaya dikemudi dengan penuh insaf dan berprinsip. Ternyata jualah janji-janji Allah yang mengungkapkan dalam kitab-Nya bahawa pabila datang kebenaran maka akan terhapuslah kebatilan.  Sesungguhnya juga semestinya insaf dimengerti bahawa tiada sesiapapun jua dalam kalangan manusia yang berkeupayaan menyembunyikan kebenaran kerana kebenaran hakiki merupakan milik Allah, lantas dengan kekuasaan-Nya jua Dia memberikan hidayah kebenaran kepada sesiapa jua yang dikehendaki-Nya untuk menegakkan Keadilan. Dan tentunya bertuahlah kalangan yang memperoleh hidayah itu sekali gus pula berupaya melaksanakannya agar kebenaran tidak menjadi bahan dagangan oleh kalangan yang berkuasa. Sememangnya juga menegakkan kebenaran itu amat sukar, memberikan keadilan juga amat berat, namun kalangan yang terbuka pintu hatinya untuk menerima hidayah tentunya juga dibekalkan dengan keberanian jiwa yang cukup luar biasa. mereka yang berjuang ke jalan dan di jalan kebenaran hakiki tentunya menyedari akan segala halangan dan rintangan yang membelenggu tetapi jiwa, hati dan minda serta fizikal  mereka telah bersebati dengan segala kesukaran. Ayuh, teruskanlah memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan nantikanlah serta bermohonlah kepada-Nya agar kita diberikan kekuatan dan keberanian untuk menyatakan kebenaran demi menegakkan keadilan!

Sunday, May 10, 2009

MENGATA DULANG.......

Salam Ukhuwah
Demikianlah kehidupan. Betapa mudahnya kita mengatakan bahawa orang Melayu mudah lupa, akhirnya kenyataan itu terkena tepat dan terpalit malu ke muka sendiri. Demikianlah seorang 'negarawan' yang dahulunya sering dicium tangannya, dirangkul dipeluk dan ditangisi, belum lagi dengan hiasan pelbagai gelar yang hebat-hebat dan selempang pelbagai warna dan puji-puja, yang dahulu kata-katanya dipetik dijaja, tetapi sekarang seluruh kata-katanya itu kemudiannya 'menyerangnya' kembali. Diperingatkannya baru-baru ini bahawa orang Melayu mestilah menghormati dan memuliakan institusi beraja, jangan menghina raja-raja dan sebagainya! namun, seluruh rakyat Malaysia yang jujur kepada dirinya sendiri tentunya mengakui bahawa orang yang paling utama memulakan episod menderhaka dan menghina Raja-raja Melayu dialah! Dialah orangnya, sekitar tahun 83 menyeru seluruh rakyat di seluruh pelosok negara agar menyokong hasrat untuk mengurangkan kuasa dan kekebalan Raja-raja Melayu dengan berpentaskan SEMARAK-Setia Bersama Rakyat! Dialah, dialah orangnya yang kemudiannya memungkinkan Raja-raja Melayu dibicarakan di mahkamah terbuka! Lalu, hari ini setiap hal yang berkaitan dengan kemuliaan Raja-raja Melayu tercemar dan dicemar oleh sesiapa sahaja sebenarnya merupakan natijah daripada segala kata-kata dan tindakan serta kelakuannya dahulu, sewaktu berada di zaman kegemilangan dan kemuncak kuasa yang sukar diduga batas sempadannya. Jangan marahkan orang lain, bangsa lain atau sesiapa sahaja yang lain, selain diri sendiri yang sebenarnya menjadi pencetus, pemula dan perosak serta pengkhianat kepada kemuliaan institusi beraja ini. Kiranya kita berasa senang hati menuduh orang melakukan segala macam kesalahan, maka marilah kita juga berlapang dada mengakui kesalahan sendiri. Kiranya kita berbangga tatkala orang memuji melangit akan kehebatan kita, bersedialah juga secara berlapang dada mengakui kekurangan, kelemahan dan keterlanjuran kita. Kita semuanya manusia biasa yang lemah dan kerap alpa, cuma bedanya tidak semua orang berkesempatan dan diberikan kesempatan oleh Allah Yang Maha Kuasa untuk berada di kemuncak kuasa yang sementara.Tentunya orang akan lebih menghormati kita, walau di mana-mana kita berada dan kepada sesiapa sahaja kita ungkapkan kata-kata! Jangan lupa, lihatlah ke dalam jiwa dan nurani nan paling dalam dengan berhening rasa meminta petunjuk daripada-Nya. Kita semuanya sama pabila dijemputnya ke Sana!

Monday, May 4, 2009

IKTIBAR DARIPADA SELSEMA BABI

Salam ukhuwah
Tiba-tiba dunia dikejutkan dengan serangan selsema babi yang bermula dan berpengkalan di Mexico. Walaupun Presidennya menyetakan bahawa negaranya memiliki keupayaan berskala besar untuk mendepani cabaran wabak tersebut, namun kematian yang berpunca daripadanya sentiasa menghantui masyarakat awamnya. Tak mengapalah, bukan wabak berkenaan yang menjadi isu untuk difikirkan, tetapi iktibar daripadanya. Sebenarnya menularnya wabak tersebut dan syukur kerana bermula di Mexico, menjadikan kesemua kita di Malaysia memikirkan semula semua projek perladangan babi secara besar-besaran dan terancang itu secara serius dan berlapang dada. Sebenarnya Allah menunjukkan kepada kita bahawa hikmah pengharaman babi itu tidak sewajarnya dipolitikkan oleh semua pihak tanpa mengira warna bendera dan motto perjuangan masing-masing, kaum dan anutan agama, sementelahan pulalah orang Melayu-Muslim. Biarlah drama yang terdahulu yang melibatkan kepemimpinan tertinggi negara mewakili orang Melayu menjadi 'perancang' utama tentang berapa banyak dan sebanyak mana yang perlu diternak dan dihapuskan. Juga kemudiannya orang Melayu bertenmgkar pula tentang kewajaran untuk mewujudkan ladang ternak babi terancang dan berskala besar! Ternyata amat memalukan! Nah, sekarang ternyata dan terbukti akan hikmah pengharamannya dan janganlah berdolak-dalik lagi dengan segala macam alasan yang secara tidak langsung menidakkan ketentuan Yang Maha Mengetahui.