Thursday, June 11, 2009

LAGI-LAGI BAHASA INGGERIS!

Salam Ukhuwah,
Mutakhir ini isu 'memartabatkan' Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang menjadi kayu ukur kemajuan negara, kebolehpasaran para graduan dan pengukur tahap keyakinan diri 'manusia' kembali menjadi isu penting bagi kalangan elit negara termasuklah para isteri mereka. Malah, seorang isteri menyatakan bahawa kalangan yang boleh menguasai bahasa Inggeris akan meningkatkan tahap keyakinan diri mereka dan tidaklah terpaksa menyediakan bantuan penterjemah sementelahan kaedah sebegini akan mengambil masa yang lebih lama. Kadang-kadang pelik sungguh cara mereka berfikir tentang makna kemajuan, kebolehpasaran dan tahap keyakinan diri seseorang! Entah berapa banyak kajian yang empirikal dikemukakan oleh para sarjana tempatan tapi seperti biasa segala yang berbaur tempatan kurang bernilai keopada mereka dan hanya sesuai untuk kalangan rakyat biasa sahaja dan bukan mereka. Mereka jugalah yang bercerita tentang satu Malaysia, Bangsa Malaysia, maju dengan acuan sendiri, tetapi terkadang kita sendiri pun tertanya-tanya sama ada segala yang mereka kemukakan itu telah mereka fahami sedalam-dalamnya, atau hanya sekadar membaca teks yang disediakan atau sekadar untuk menyedapkan hati rakyat atau untuk menunjukkan betapa patriotiknya mereka berbanding rakyat, walaupun pada hakikatnya segala-galanya itu hanyalah kata-kata kosong tanpa makna! Entah berapa kali telah dibuktikan betapa sekiranya kita bergantung kepada bahasa asing sebagai kayu ukur kemajuan kita, maknanya kita belum berupaya maju apatah lagi maju dengan acuan sendiri. Kita sebenarnya memerlukan para pemimpin yang benar-benar menghayati sejarah perjuangan bangsa Melayu secara tulen, makna ketuanan Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu, keunggulan kepertuanan Melayu: dan bukannya sekadar menyuruh orang lain memberi kefahaman kepada mereka melalui teks-teks ucapan yang di sediakan yang selalunya bersifat 'rasmi-rasmian' sahaja, dan untuk menyedapkan telinga serta memuaskan hati kalangan yang menjemput kehadiran mereka!

No comments: