Monday, January 5, 2009

INDAHNYA SAAT PERSEKOLAHAN

Salam ukhuwah buat warga jagat,
Semalam tercatat sejarah indah dalam kehidupanku dan keluarga kecil ini kerana mendaftarkan persekolahan anak sulungku ke darjah satu, dan pada masa yang sama juga mendaftarkan anak perempuanku ke sekolah tadika. Kedua-dua peristiwa ini mengundang imbauan ke zaman lampauku tatkala kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah tanpa terlebih dahulu mengenali alam tadika berbanding dengan peluang yang dapat dinikmati oleh anak-anakku. Demikian putaran roda kehidupan, indah sekali gus mengharukan. Berbanding dengan awal persekolahanku yang diiringi dengan serba kekurangan, anak-anakku menikmati persediaan yang tidak kurang sedikitpun persediaannya. Namun, jiwa kebapaanku diwarnai dengan bunga-bunga bahagia dan kedamaian yang tidak bisa terungkapkan dengan susunan kata-kata kerana 'pengalaman' langsung itu menjadi amat bermakna dan bererti sekali. Lalu inginku titipkan kembali tradisi penyerahan anak dengan membawa anakku memperkenalkan dirinya kepada gurunya serta kubuatkan penyerahan rasmi dengan harapan agar anankku dididik menjadi pandai dan menjadi manusia baik beserta dengan sepotong rotan! Didiklah anakku dan rotanlah kiranya perlu asalkan anakku tidak cacat dan patah riuk. Andai ayahandaku masih bersama-sama kami tentu dia akan menjadi amat gembira dengan caraku itu. Moga anak-anakku menjadi manusia baik "a good man" seperti yang diungkapkan oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya The Concept of Education in Islam (1980) 

No comments: