Thursday, April 30, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KL 2009.

Salam ukhwuah buat semua,
Tanggal 25 April 2009 saya berkesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bertempat di PWTC. saya tidak akan bercerita tentang kemeriahannya, sama ada dalam konteks sambutan para pengunjungnya mahupun pelbagai acara yang menjadi selingannya. Saya telah membeli beberapa naskah buku baru dan lama yang menarik minat minda saya. Saya membeli buku kerana beberapa faktor yang antaranya termasuk kerana faktor ketersohoran pengarangnya, bidang dan disiplin ilmunya, dan terkadang kerana persembahan fizikal buku itu yang menarik saya untuk membelinya. Antara yang saya beli ialah kumpulan puisi SN Prof Dr Muhammad Hj Salleh bertajuk Selamat Pulang Juita yang disertakan dengan terjemahan Sepanyolnya Bienvenida a casa, Juita. dan paling menariknya saya berkesempatan mendapatkan tandatangan pengarangnya sendiri dengan kata-kata rangsangan agar terus menggelumangi dunia perbukuan. Saya dapatkan juga buku menarik rakaman lukisan dan petikan-petikan menarik karya SN Datuk A. Samad Said bertajukBisik Warna. Sebuah lagi buku yang menarik ialah karya sejarah yang dipersembahkan dalam bentuk cerita yang bertajuk Tun Perak Pencetus Wawasan Empayar Melaka hasil buah tangan Prof Madya Dr Muhd Yusof Ibrahim, amat kreatif gubahannya. AlhamduliLlah, telah selesai saya baca kesemua buku yang saya sebutkan di atas dan sekarang sedang menikmati novel antara yang terakhir karya SN Arena Wati sebelum kepulangannya menghadap Allah bertajuk Warna Hati Era Remaja terbitan UPSI. saya juga secara peribadi merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kepemimpinan ITNM pimpinan Prof Dato Dr Wan Hashim Wan Teh yang kebelakangan ini begitu aktif menterjemahkan pelbagai karya besar dan popular Barat ke Bahasa Melayu, termasuklah beberapa karya kesusasteraan. Saya telah membeli beberapa naskah sebagai tanda sokongan sekali gus sebagai pengukuhan pembacaan dan pemahaman kerana sebahagiannya telah saya miliki karya versi asalnya di samping ingin melengkapkan perpustakaan peribadi saya dengan himpunan khazanah karya pemikir-pemikir hebat daripada pelbagai tradisi intelektual dan tamadun dunia.   

No comments: