Sunday, May 10, 2009

MENGATA DULANG.......

Salam Ukhuwah
Demikianlah kehidupan. Betapa mudahnya kita mengatakan bahawa orang Melayu mudah lupa, akhirnya kenyataan itu terkena tepat dan terpalit malu ke muka sendiri. Demikianlah seorang 'negarawan' yang dahulunya sering dicium tangannya, dirangkul dipeluk dan ditangisi, belum lagi dengan hiasan pelbagai gelar yang hebat-hebat dan selempang pelbagai warna dan puji-puja, yang dahulu kata-katanya dipetik dijaja, tetapi sekarang seluruh kata-katanya itu kemudiannya 'menyerangnya' kembali. Diperingatkannya baru-baru ini bahawa orang Melayu mestilah menghormati dan memuliakan institusi beraja, jangan menghina raja-raja dan sebagainya! namun, seluruh rakyat Malaysia yang jujur kepada dirinya sendiri tentunya mengakui bahawa orang yang paling utama memulakan episod menderhaka dan menghina Raja-raja Melayu dialah! Dialah orangnya, sekitar tahun 83 menyeru seluruh rakyat di seluruh pelosok negara agar menyokong hasrat untuk mengurangkan kuasa dan kekebalan Raja-raja Melayu dengan berpentaskan SEMARAK-Setia Bersama Rakyat! Dialah, dialah orangnya yang kemudiannya memungkinkan Raja-raja Melayu dibicarakan di mahkamah terbuka! Lalu, hari ini setiap hal yang berkaitan dengan kemuliaan Raja-raja Melayu tercemar dan dicemar oleh sesiapa sahaja sebenarnya merupakan natijah daripada segala kata-kata dan tindakan serta kelakuannya dahulu, sewaktu berada di zaman kegemilangan dan kemuncak kuasa yang sukar diduga batas sempadannya. Jangan marahkan orang lain, bangsa lain atau sesiapa sahaja yang lain, selain diri sendiri yang sebenarnya menjadi pencetus, pemula dan perosak serta pengkhianat kepada kemuliaan institusi beraja ini. Kiranya kita berasa senang hati menuduh orang melakukan segala macam kesalahan, maka marilah kita juga berlapang dada mengakui kesalahan sendiri. Kiranya kita berbangga tatkala orang memuji melangit akan kehebatan kita, bersedialah juga secara berlapang dada mengakui kekurangan, kelemahan dan keterlanjuran kita. Kita semuanya manusia biasa yang lemah dan kerap alpa, cuma bedanya tidak semua orang berkesempatan dan diberikan kesempatan oleh Allah Yang Maha Kuasa untuk berada di kemuncak kuasa yang sementara.Tentunya orang akan lebih menghormati kita, walau di mana-mana kita berada dan kepada sesiapa sahaja kita ungkapkan kata-kata! Jangan lupa, lihatlah ke dalam jiwa dan nurani nan paling dalam dengan berhening rasa meminta petunjuk daripada-Nya. Kita semuanya sama pabila dijemputnya ke Sana!

1 comment:

LeeSlimShady said...

semua orang pun tahu...madey lah orang nya...tapi masa tu tak melompat - lompat lak Pemuda UMNO nak pertahan kan Raja - raja Melayu