Wednesday, November 19, 2008

BAHASA MELAYU DAN KEAZAMAN POLITIK







Salam buat semua.



Untuk kesekian kalinya aku masih lagi tidak dapat menerima hakikat bahawa Bahasa Melayu kian diperlekehkan oleh kalangan bangsaku sendiri. Malah aku menjadi berasa lebih malu apabila Prof Dr Teo Kok Seong, Profesor Sosiolinguistik UKM sendiri mengungkapkannya sedemikian dalam suratnya yang tersiar dalam akhbar Berita Harian (11 Nov 2008:35). Katanya, "Sebenarnya, bahasa Melayu banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu'. Aku amt berharap agar ramai kalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang lantang memperjuangkan Ketuanan Melayu agar jujur pula bukan sahaja untuk mempertahankan tetapi juga bersungguh-sungguh memperjuangkan bahasa Melayu yang merupakan antara unsur pentakrif Ketuanan Melayu itu. Kiranya kita sendiri tidak berupaya atau tidak bersedia atau tidak berminat untuk memperjuangkannya sebagai antara unsur pentakrif Ketuanan Melayu, maka jangan marahkan orang lain kiranya bahasa Melayu atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan unsur-unsur Ketuanan Melayu itu dipersoalkan atau diperlekehkan. dalam hal ini, bangsa Melayu sebenarnya memerlukan keazaman politik para pemimpin Melayu untuk menentukan jatuh-bangunnya martabat Bahasa Melayu, Bangsa Melayu dan Peradaban Melayu-Islam di negara ini. Kiranya para pemimpin Melayu ingin menyerahkannya kepada rakyat untuk menilai, maka rakyat telah mula menunjukkan sebahagian daripada penilaian mereka. Janganlah nanti 'yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran', waktu untuk generasi 'kita' mungkin telah terlalu singkat, tetapi fikirkanlah generasi selepas kita. sewaktu 'kita' masih wujudpun, telah mula'anak-anak tiri' dan 'anak-anak angkat' menuntut yang bukan-bukan, sementelahanlah pula apabila 'kita' telah tiada nanti. jangan juga salahkan kepada mereka, kerana punca segala musibah yang membuka pekung di dada ini ialah 'kita' sendiri. insaflah!

1 comment:

Joseph Changph said...

apa dah jadi ahli bomba dah di tinggalkan ke?